Tuesday, October 21, 2008

Guru Bukan Siswazah Gred DG44 Berpeluang Naik Pangkat Lebih Cepat

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Guru-guru bukan siswazah gred DG44 turut berpeluang dinaikkan pangkat ke gred DG48 secepat guru siswazah, kata Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Anuar Ibrahim hari ini.

Ekoran itu, katanya kumpulan guru terbabit diminta mengemukakan butiran prestasi dan pengalaman mereka kepada NUTP bagi membolehkan satu kertas kerja dipanjangkan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung perkara itu.

" Maklumat ini akan membantu JPA mempercepatkan proses kenaikan pangkat itu," katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai Persidangan Perwakilan tri-tahunan NUTP kali ke-18, di sini hari ini.

Beliau berkata perbincangan dengan JPA Selasa lepas diadakan berikutan ramai guru bukan siswazah gred DG44 berpendapat adalah tidak adil guru siswazah yang memperoleh kenaikan pangkat lebih cepat daripada mereka sedangkan mereka lebih lama menabur bakti kepada negara dan masyarakat dalam bidang pendidikan.

"Jika isu ini dibiarkan berlarutan, ia akan melahirkan suasana tidak harmoni di sekolah terutamanya dalam urusan perkhidmatan dan pengurusan sekolah," katanya.

Mengenai persidangan NUTP yang akan diadakan di Batu Ferringhi, Pulau Pinang dari 24 hingga 27 Ogos ini, Anuar berkata satu daripada 65 isu yang akan diusulkan nanti adalah berkaitan subsidi minyak untuk guru yang menghantar pelajar mereka melakukan aktiviti ko-kurikulum di luar kawasan sekolah.

Katanya isu ini amat penting untuk dibahaskan kerana ia melibatkan keselamatan dan insurans pelajar dan guru yang dalam perjalanan.

-- BERNAMA

No comments: